Tuesday, 26 January 2016

KONSEP - KONSEP PENDAPATAN NEGARA (MAKROEKONOMI BAB 2)


1.     Pendapatan Negara = Nilai barang dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh sesebuah negara pada suatu tahun tertentu.

2.     Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) = Nilai barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh semua faktor pengeluaran dalam sesebuah negara, tanpa mengira sama ada faktor pengeluaran yang digunakan adalah milik negara itu atau milik negara asing.

3.     Keluaran Negara Kasar (KNK) = Nilai barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh semua faktor pengeluaran milik negara tersebut, tanpa mengira sama ada keluaran itu dilakukan di dalam negara atau di negara asing.

4.     Pendapatan faktor bersih luar negeri (PFbLN) = Perbezaan antara pendapatan faktor yang diterima dari luar negeri dengan pembayaran faktor ke luar negeri.

5.     Harga pasaran = Harga barang akhir dan perkhidmatan yang dinilai mengikut harga yang dibayar oleh pembeli di pasaran.

6.     Kos faktor / harga faktor = Harga barang akhir dan perkhidmatan yang dibayar kepada faktor pengeluaran yang digunakan untuk mengeluarkan barang tersebut.

7.     Cukai tak langsung = Beban cukai yang boleh dipindahkan kepada orang lain seperti cukai jualan, cukai perkhidmatan dan cukai import.

8.     Subsidi = Bantuan kerajaan kepada kegiatan pengeluaran sesuatu barang dalam ekonomi.

9.     Keluaran Negara Nominal = Keluaran negara yang dihitung mengikut harga pada tahun berkenaan.

10.  Keluaran Negara Benar = Keluaran negara yang dihitung mengikut harga tahun asas.

11.  Keluaran Negara Bersih = Keluaran negara yang telah ditolak susut nilai.

12.  Pendapatan per kapita = Pendapatan purata penduduk sesebuah negara pada suatu tahun tertentu.

     (Sumber: Sabariah Ali, 2014, Makroekonomi Penggal 2, Oxford Fajar Sdn.Bhd:Selangor)

Monday, 25 January 2016

KELEMAHAN UMUM CALON MENJAWAB SOALAN EKONOMI STPM



1.   Kebanyakan calon tidak memberi perhatian kepada peruntukan markah. Keadaan ini jelas apabila markah yang sedikit dijawab dengan huraian panjang, manakala markah yang banyak dijawab dengan huraian pendek.

2.     Calon tidak membuat perancangan yang teliti sebelum menjawab soalan. Hal ini menyebabkan jawapan calon tidak tersusun dan memasukkan fakta yang tidak berkaitan.

3.  Calon tidak mengaitkan teori dan konsep ekonomi yang relevan dengan masalah yang dikemukakan. Jawapan yang diberi secara umum dan tidak berkaitan dengan kehendak soalan.

4.    Calon cenderung menjawab soalan perbandingan dalam bentuk jadual. Keadaan ini sepatutnya tidak berlaku dalam kalangan calon di peringkat praU. Calon sepatutnya menjawab soalan perbandingan secara matang dengan hujah dalam bentuk esei.

5.   Pemahaman calon tentang konsep asas agak lemah menyebabkan mereka tidak dapat memberi definisi dan menghurai fakta dengan baik.

6.     Calon tidak melabel gambar rajah pada paksi X dan Y dan ada sesetengah calon salah melabel gambar rajah.

7.     Bagi soalan kuantitatif:
(a)   Calon tidak menunjukkan jalan kira dan tidak memberi ukuran kepada jawapan, misalnya ‘RM’, ‘RM juta’ atau ‘unit’.

(b)  Calon tidak melabel gambar rajah dengan ukuran yang diberi dalam soalan, misalnya ‘000 unit’, ‘RM juta’ atau ‘ribu orang’.

(c)   Calon tidak boleh menganalisis data yang telah dihitung.

Monday, 18 January 2016

KONSEP MAKROEKONOMI DALAM BAB 1: PENGENALAN

1.     Aliran pusingan pendapatan = Aliran pendapatan dan perbelanjaan yang dilakukan oleh isi rumah, firma, kerajaan dan sektor luar negeri dalam sesebuah ekonomi.

2.     Aliran fizikal = Aliran dalam bentuk benda seperti faktor pengeluaran (buruh, tanah, modal dan usahawan) serta barang dan perkhidmatan.

3.     Aliran wang = Aliran dalam bentuk wang seperti pendapatan faktor pengeluaran (upah, sewa, bunga, untung), perbelanjaan penggunaan (C), tabungan (S) dan sebagainya.

4.     Inflasi = Kenaikan tingkat harga umum barang dan perkhidmatan secara berterusan dan tidak terbatas.

5.     Pengangguran = Jumlah tenaga buruh yang tidak melakukan sebarang kegiatan ekonomi tetapi aktif mencari pekerjaan.

6.     Pertumbuhan ekonomi = Perkembangan kegiatan ekonomi dari semasa ke semasa yang menyebabkan keluaran negara benar semakin meningkat berbanding tahun sebelumnya.

7.     Imbangan pembayaran = Suatu rekod kewangan yang menunjukkan aliran masuk dan aliran keluar wang serta modal sesebuah negara dengan negara-negara lain dalam tempoh tertentu.

8.     Dasar fiskal = Dasar kerajaan menggunakan cukai dan perbelanjaan kerajaan untuk mengatasi masalah ekonomi.

9.     Dasar kewangan = Dasar yang dijalankan oleh bank pusat dengan mengawal penawaran wang dan kadar bunga untuk mengatasi masalah ekonomi.

10.  Kawalan langsung = Langkah kerajaan mengawal beberapa kegiatan tertentu untuk meningkatkan kegiatan ekonomi.

11.  Keluaran Negara Kasar (KNK) = Nilai barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh semua faktor pengeluaran milik negara tersebut, tanpa mengira sama ada keluaran itu dilakukan di dalam negara atau di luar negara.

12.  Kadar inflasi = Peratusan atau kadar kenaikan tingkat harga umum yang berlaku pada tahun tertentu berbanding tahun sebelumnya.

13.  Kadar pengangguran = Peratusan atau kadar tenaga buruh yang tidak melakukan sebarang kegiatan ekonomi pada tahun tertentu berbanding tahun sebelumnya.

14.  Kadar pertumbuhan ekonomi = Peratusan atau kadar kenaikan keluaran negara benar pada tahun tertentu berbanding tahun sebelumnya.

15.  Kadar bunga = Peratusan kos yang perlu dibayar oleh firma kepada institusi kewangan kerana meminjam untuk melakukan pelaburan.

16.  Kitaran perniagaan = Keadaan ekonomi yang melambung dan meleset dalam jangka masa tertentu.

17.  KNK potensi = KNK yang boleh dicapai oleh sesebuah negara sekiranya negara tersebut menggunakan semua faktor pengeluaran yang ada dalam ekonomi.

18.  KNK sebenar = KNK yang sebenarnya dicapai oleh sesebuah negara.

19.  Akaun dagangan = Akaun yang merekodkan urus niaga eksport barang dan import barang.

20. Akaun semasa = Akaun yang merekodkan urus niaga yang berikut iaitu eksport dan import barang, eksport dan import perkhidmatan, pendapatan dan pindahan semasa.

       (Sumber : Sabariah Ali, 2014, Ace Ahead Teks STPM Makroekonomi, Oxford Fajar)